-->
Sharifah Noorulfitrah Wan Alkap

text maker


Cool Text Maker

Selasa, 23 Oktober 2012

Bulan Bahasa Kebangsaan

Tema Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 ialah 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara. Tema tersebut seiring dengan hasrat kerajaan dalam mewujudkan masyarakat 1 Malaysia. Banyak aktiviti telah dirancang oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bagi meraikan bulan bahasa ini. Setiap negeri menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan dengan mengadakan pelbagai program ilmu bagi mendedahkan dan mendidik masyarakat berkaitan ilmu kebahasaan. 

Salah satu pendekatan menarik yang digunakan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun ini adalah dengan menayangkan sebuah drama pendek yang berjudul Osman Baku.  Drama bersiri 13 episod itu ditayangkan di TV 2 pada setiap hari selasa bermula 2 Oktober 2012. Drama tersebut walaupun kelihatan lucu atau lebih kepada unsur lawak tetapi sangat bermanfaat kerana watak Osman digambarkan mementingkan bahasa Melayu. Beliau cukup pantang melihat atau mendengar orang sekelilingnya menggunakan bahasa Melayu yang tunggang langgang. 









Dicatat oleh Unknown di 6:33 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Usaha

Laman sosial Facebook sering kali dipandang negatif oleh masyarakat memandangkan masa kini laman Facebook banyak disalahgunakan. Namun, satu status yang 'dinaikkan' rakan saya membuatkan saya berbangga kerana melalui Facebook, dia berusaha untuk mengajak rakan-rakan yang lain memartabatkan bahasa Melayu. Dalam laman Facebook, terdapat kumpulan tertentu ditubuhkan bagi memudahkan lagi komunikasi. Rakan saya ini meletakkan status tersebut di dalam kumpulan pelajar ISMP Bahasa Melayu UPSI. 

Status rakan saya ini secara tidak lansung telah membangkitkan semangat pelajar-pelajar lain dalam kumpulan berkenaan. Tindakan mereka juga sedikit sebanyak telah memupuk dan mengajar ahli-ahli untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu memandangkan kesemua ahli kumpulan berkenaan merupakan bakal guru bahasa Melayu. 

Perkara seperti inilah yang sepatutnya dilakukan oleh remaja sekarang. Menggunakan laman Facebook ke arah kebaikan dan memberi ilmu kepada pengguna yang lain dan bukannya menyalahgunakan teknologi yang ada untuk kebaikan individu.



Dicatat oleh Unknown di 1:06 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Mana Perginya Orang Kita

Cuti hujung minggu yang lalu, saya pergi berjalan-jalan di bandar Rawang bersama seorang lagi rakan saya. Kami pergi dengan menunggang motosikal. Saya merasa sedikit takut kerana di mana-mana sahaja saya pergi, Tesco, Mydin ataupun kedai makan, majoriti pekerjanya adalah pekerja asing. Mana perginya orang kita sendiri? Saya seolah-olah datang ke tempat mereka. Tidak termasuk lagi warga asing yang selalu kelihatan berkeliaran keluar pada hujung minggu di bandar-bandar dan pekan kecil termasuklah pekan Tanjung Malim sendiri.

Kemasukan warga asing sewenang-wenangnya mendatangkan kesan kepada masyarakat setempat. Kebanyakan warga asing ini berjalan dalam kelompok yang besar dan sekiranya mereka duduk melepak di pusat beli belah, stesen bas atau di mana sahaja, situasi seperti ini akan mencacatkan pemandangan. Penduduk setempat rata-rata tidak selesa dengan kehadiran mereka itu dan merasa keselamatan tidak terjamin walhal tempat ini adalah tempat kita sendiri. Warga asing ini juga kebanyakannya kurang adab dan cuna menunjuk lagak di tempat kita. Contohnya sewaktu saya dan rakan singgah makan di salah sebuah kedai makan di bandar Rawang. Pekerja kedai yang mengambil pesanan makanan itu meninggikan nada suaranya seakan-akan marah kepada kami. Saya dan rakan terpinga-pinga. Pada pendapat kami, kami telah menyebut makanan yang kami pesan dengan jelas. Berkemungkinan dia kurang faham dengan pesanan kami itu. 

Kehadiran warga asing menggugat keselamatan warga tempatan. Saya sendiri merasakan saya bukan duduk di negara sendiri memandangkan di sekeliling saya terdapat ramai warga Indonesia, Myanmar, Pakistan dan sebagainya. Mereka datang membawa budaya tidak sihat mereka dan hal ini mungkin akan menjejaskan keharmonian dan menghakis budaya masyarakat kita sedikit demi sedikit.


Dicatat oleh Unknown di 7:56 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Isnin, 22 Oktober 2012

Adab Menegur

Masyarakat Melayu sinonim dengan budi bahasa dan kesopanan dalam pertuturannya. Namun, sejak akhir-akhir ini, nilai berbudi bahasa itu semakin berkurangan. Hal ini boleh kita lihat dalam dua situasi yang berbeza yang akan saya ceritakan sebentar lagi.

SITUASI 1 :

Sewaktu bersiar-siar di Tasik Proton City, kelihatan sepasang kekasih sedang bergurau senda di salah sebuah bangku di tepi tasik itu. Si wanita duduk sambil meriba pasangannya. Mereka seperti tidak mempedulikan mata-mata pengunjung yang memandang mereka dengan rasa tidak puas hati. Tiba-tiba, seorang pak cik yang duduk tidak jauh daripada tempat itu bersama keluarganya memekik sambil menunding jari ke arah pasangan itu sambil berkata "Woi, bangun! Ini tempat awam la". Pasangan tersebut terkejut dan malu lalu cepat-cepat meninggalkan bangku berkenaan.

SITUASI 2 :

Si lelaki sedang berbual dengan teman wanitanya di hadapan rumah teman wanitanya itu. Kemudian, datang rakan serumah wanita itu bersama suaminya. Si suami itu tadi dengan tiba-tiba berkata, "Oi, balik la. Rumah Orang tu. Si lelaki tadi terpinga-pinga apabila mendengar kata-kata tersebut.

Kedua-dua situasi di atas menunjukkan niat pak cik dan si suami adalah sama iaitu untuk menegur ke arah kebaikan tetapi pendekatan yang mereka gunakan tidak sesuai. Mereka menegur secara kasar. Sepatutnya, mereka menegur menggunakan bahasa yang sopan agar niat mereka itu boleh diterima pasangan yang berkenaan. Menegur secara kasar tidak akan menyelesaikan masalah dan akan membuatkan mereka dibenci dan dicaci.
Dicatat oleh Unknown di 11:01 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Pengalaman

Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Begitulah hakikatnya kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan dalam kepelbagaian budaya. Kita perlu tahu adat, budaya, dialek dan pelbagai lagi berkaitan masyarakat dalam komuniti kita.

Pengalaman mengajar saya mempelajari perkara-perkara tersebut. Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Tanjung Malim, saya berasa amat janggal kerana saya tidak menyangka saya akan pergi sejauh ini dalam hidup saya. Saya perlu berhadapan dengan pelbagai ragam manusia daripada latar belakang yang berbeza dan dialek yang pelbagai. Mustahil untuk saya memahami dialek mereka dalam jangka waktu yang singkat memandangkan inilah kali pertama saya berhadapan dengan kelompok masyarakat daripada negeri yang berlainan. 

Sahabat saya berasal daripada Terengganu. Walaupun berasal daripada Terengganu tetapi dialeknya lebih kepada dialek Kelantan. Semasa berkomunikasi dengan saya, dia tetap menggunakan dialek Kelantan cuma kadang kala dia akan menggunakan bahasa Melayu standard supaya saya lebih faham. Mulanya, memang agak sukar untuk saya berkomunikasi dengannya. Lama kelamaan, saya sudah boleh memahami dialeknya. Pada cuti pertengahan semester, dia mengajak saya balik bercuti di kampungnya. Saya rasa inilah peluang saya untuk menerokai dunia luar yang belum pernah saya rasai. Sepanjang berada di kampungnya, saya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi. Hal ini demikian kerana keluarganya dan jiran tetangga menggunakan dialek yang pekat sehinggakan saya tidak memahami butiran kata-kata mereka. Jika hendak dibandingkan dengan sahabat saya itu, walaupun dia bercakap menggunakan dialek tetapi dia masih lagi menerangkan dalam bahasa Melayu standard. Namun, masalah itu bukan penghalang untuk saya lebih mengenali mereka. Saya belajar bahasa mereka, cara hidup mereka dan makan makanan harian mereka. Kini, hampir 2 tahun lebih bersama, saya sudah boleh memahami dialeknya tanpa penjelasan yang lanjut daripada sahabat saya itu. Begitulah pengalaman saya dalam mempelajari dialek negeri lain.

Dicatat oleh Unknown di 10:18 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Photo Cube Generator

Mengenai Saya

Unknown
Lihat profil lengkap saya

Arkib Blog

  • ▼  2012 (26)
    • ▼  10/21 - 10/28 (5)
      • Bulan Bahasa Kebangsaan
      • Usaha
      • Mana Perginya Orang Kita
      • Adab Menegur
      • Pengalaman
    • ►  10/14 - 10/21 (5)
    • ►  10/07 - 10/14 (5)
    • ►  09/30 - 10/07 (5)
    • ►  09/23 - 09/30 (5)
    • ►  09/16 - 09/23 (1)

Pengikut

MASA BERLALU

HALWA TELINGA




Gratisan Musik

Copyright© All Rights Reserved Sharifahnoorulfitrahwanalkap.blogspot.com