Status tersebut mempunyai makna yang tersirat. Seperti yang kita sedia maklum, lagu Oppa Gangnam Style melonjak naik secara mendadak baik di corong radio dan laman youtube dan tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ramai yang telah meniru tarian Oppa Gangnam Style tersebut dengan membuat versi mereka sendiri. Tidak salah jika hendak meminati sesuatu tetapi janganlah terlalu obses. Seperti yang dikatakan rakan saya dalam laman facebook di atas, kebanyakan pelajar sekarang berlumba-lumba mengetahui bahasa Korea agar mereka tidak dianggap ketinggalan zaman. Profil di laman facebook, status dan gambar-gambar semuanya mengagungkan budaya Korea. Gejala tidak sihat seperti ini secara tidak lansung akan memudarkan minat remaja dengan bahasa ibunda mereka. Mereka lebih cenderung belajar bahasa asing tetapi bahasa ibunda sendiri masih belum mahir lagi. Tidakkah mereka sedar bahawa orang luar sedang berusaha untuk mempelajari bahasa kita tetapi kita sendiri telah meminggirkannya? Justeru, kita sepatutnya berbangga dengan bahasa, budaya dan negara kita sendiri. Berusahalah untuk mempertahankannya.
Jumaat, 19 Oktober 2012
Khamis, 18 Oktober 2012
Suatu pagi, sedang saya dan rakan leka berjalan untuk ke bilik kuliah, kami terkejut apabila tiba-tiba mendengar suara orang bertempik. Individu itu menyebut perkataan yang kurang sopan, f*** dengan kuat sekali. Pada waktu itu, pelajar berpusu-pusu masuk melalui Pintu Timur UPSI memandangkan sesi kuliah akan bermula seawal jam 8 pagi. Kenderaan juga kelihatan sangat sibuk pada pagi itu. Kami berdua tergamam melihat kejadian itu. Pelajar tersebut menunggang motosikal bersama dua orang lagi rakannya yang lain.
Setelah mengeluarkan kata kesat itu, pelajar tersebut keluar daripada Pintu Timur sambil menunggang motosikalnya dengan laju. Beberapa pasang mata memandang ke arah pelajar berkenaan dengan wajah kehairanan dan rasa tidak puas hati dengan sikapnya. Saya dan rakan beranggapan mungkin pelajar berkenaan ditegur dan dilarang oleh pengawal keselamatan daripada masuk ke kampus kerana tidak memakai kad matrik ataupun dia tidak mempunyai pas kenderaan. Beberapa minit kemudian, kelihatan pelajar yang sama menunggang motosikal dengan lajunya masuk ke kawasan kampus tanpa menghiraukan para pengawal yang bertugas di situ.
Sikap pelajar itu sangat tidak sopan memandangkan dia adalah bakal pendidik. Mungkin dia terburu-buru untuk ke bilik kuliah tetapi tidak sepatutnya dia mengeluarkan kata kesat seperti itu. Mungkin ramai pelajar ambilan baru melihat kejadian tersebut dan hal ini akan mendatangkan kesan negatif di kemudian hari. Dia sepatutnya menghormati tugas pengawal keselamatan itu. Pengawal tidak akan menyekat dia daripada masuk ke kawasan kampus sekiranya dia tidak bersalah.
Rabu, 17 Oktober 2012
Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Perak dan Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu telah berlansung selama dua hari bermula isnin lepas. Kesemua pelajar jurusan bahasa Melayu diwajibkan untuk menghadiri persidangan tersebut. Persidangan tersebut bukan sahaja melibatkan warga UPSI malahan juga melibatkan ahli bahasa dari luar negara seperti dari Indonesia dan juga Singapura. Kertas kerja yang dibentangkan adalah dapatan kajian mereka berkenaan bahasa Melayu. Banyak input yang bermanfaat diketengahkan dan boleh dijadikan sebagai panduan untuk kami bakal-bakal guru kelak. Terdapat beberapa perkara yang sangat menarik minat saya sepanjang sesi persidangan tersebut.
Pertama, saya sangat tertarik dengan bahasa Melayu yang digunakan oleh pembentang dari Singapura. Pembentang tersebut menggunakan bahasa Melayu baku dan mungkin warga Singapura memang menggunakan bahasa Melayu baku dalam pertuturan seharian mereka. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat kita, kita tidak mempraktikkan bahasa baku sepenuhnya dalam percakapan harian kita. Bahasa Melayu kita juga kadang-kadang masih lagi mempunyai pengaruh bahasa Inggeris. Contohnya dalam menyebut perkataan 'idea'. Kita sering kali menyebut 'idea' itu berbeza daripada ejaan sebenarnya iaitu lebih cenderung kepada pengaruh sebutan Inggeris.
Kedua, saya juga sependapat dengan pembentang daripada IPG Batu Lintang, Kuching. Beliau menyatakan bahawa kita sibuk hendak memartabatkan bahasa Melayu tetapi dalam ikrar Setia Bahasa yang dilafazkan semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan itu, tidak disebut sedikit pun perihal bahasa Melayu. Yang ada hanyalah bahasa Malaysia. Lafaz ikrar tersebut adalah seperti berikut:
Kami, rakyat Malaysia,
berikrar akan terus setia memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai :
bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa.
bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta pembangunan negara
yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia.
bahasa yang menjaga dan meupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan
pemikiran bangsa dan bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta
mengembangkan ilmu dan tamadun di negara dan di dunia.
Sesungguhnya,
kami bertekad akan meneruskan perjuangan ini.
Satu lagi perkara yang menarik minat saya ialah perihal dokumen Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang didedahkan oleh Profesor Emeritus Nik Safiah Karim. Dalam usaha memartabatkan bahasa kita sendiri iaitu bahasa Melayu, ternyata bahasa kita 'dianaktirikan' berbanding bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana dalam dokumen tersebut, hanya terdapat sedikit sahaja huraian cara-cara memartabatkan bahasa Melayu berbanding cara memperkukuhkan bahasa Inggeris. Sepatutnya, kita perlu mendahulukan bahasa kita sendiri dan bukannya bahasa asing. Pendedahan tersebut telah membuka mata banyak pihak yang menghadiri persidangan tersebut termasuklah saya. Dimanakah kerelevanan pihak kerajaan berbuat demikian? Sebagai seorang bakal guru bahasa, saya sudah merasa bahang tanggungjawab yang akan saya pikul.
Restoran makanan segera memang menjadi tarikan bagi pelajar seperti kami. Di pekan Tanjung Malim ini sendiri, restoran makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut laris disebabkan kehadiran pelajar UPSI sendiri dan sekiranya tiba musim cuti, restoran-restoran tersebut mungkin akan lengang. Kebanyakan pelajar lebih memilih KFC berbanding Pizza Hut mungkin disebabkan faktor harga yang ditawarkan. Baru-baru ini juga, saya dan rakan masing-masing mendapat baucer makanan daripada Pizza Hut dan kami bercadang untuk menebus baucer tersebut. Sebelum ini, kami lebih memilih KFC berbanding Pizza Hut memandangkan harga yang ditawarkan KFC lebih murah. Dengan adanya baucer tersebut, kami berpeluang merasa makanan di Pizza Hut.
Sesampainya kami di restoran Pizza Hut, kami disambut oleh seorang wanita yang mungkin seusia kami di kaunter bayaran. Salah seorang rakan saya memberikan senyuman dan bertanya cara-cara menebus baucer yang ada pada kami itu. Wanita tersebut menjawab dengan muka yang tidak mesra pelanggan dan bercakap tanpa melihat kami. Dia asyik melihat sekeliling restoran tersebut. Pada tanggapan kami, mungkin wanita tersebut beranggapan bahawa kami tidak penting dan tidak layak untuk makan di tempat sebegitu. Kami merasa tidak selesa dengan layanan wanita itu yang kelihatan agak sombong dan berlagak. Secalit senyuman pun tidak terukir di bibir wanita itu. Selepas itu, kami naik ke tingkat atas bangunan restoran itu.
Hampir 15 minit kami duduk tanpa dilayan oleh pekerja restoran itu. Beberapa orang pelanggan lain juga kelihatan resah kerana mereka pun senasib dengan kami. Pekerja restoran tersebut ramai tetapi yang kelihatan bekerja hanyalah seorang sahaja. Kami pun tidak pasti cara pengurusan restoran tersebut. Pekerja restoran tersebut bukan sahaja tidak cekap bekerja malahan mereka juga tidak mesra pelanggan. Mereka hanya berlagak memakai pakaian cantik dengan solekan yang tebal tanpa menghiraukan kehadiran pelanggan yang menjadi aset keuntungan mereka. Sikap mereka membuatkan saya dan rakan-rakan merasa serik untuk berkunjung ke restoran tersebut. Tidak berbaloi rasanya makan di tempat yang mahal dengan layanan dan servis perkhidmatan yang sangat lembap seperti itu. Sepatutnya mereka mendahulukan pelanggan dan mempamerkan sikap yang baik kepada pelanggan mereka. Tanpa pelanggan, mereka mungkin tidak akan mempunyai pekerjaan.
Kisah ini berlaku dua hari lepas. Pada waktu itu, saya dan rakan dalam perjalanan ke pekan Tanjung Malim dengan menunggang motosikal. Kami berhenti di persimpangan lampu isyarat di hadapan kedai Yik Mun memandangkan pada waktu itu lampu isyarat menunjukkan warna merah yang bermaksud berhenti. Sedang saya leka memandang sekeliling, saya terpandang seorang lelaki yang juga menunggang motosikal dan berada di hadapan motosikal kami.
Lelaki tersebut berbadan agak gempal dan berusia lebih kurang sama dengan ayah saya. Motosikal yang dinaikinya kelihatan agak uzur dan saya rasa lelaki tersebut sudah layak jika digelar sebagai pak cik. Beliau memakai pakaian serba putih seperti mereka yang bekerja di klinik kesihatan. Pada mulanya, saya menyangka pak cik tersebut mengantuk kerana dia tunduk sejak dari awak dia berhenti. Setelah lama saya memerhati, barulah saya tahu kisah sebenar. Pak cik tersebut tunduk bukan disebabkan dia mengantuk tetapi dia tunduk untuk membaca buku yang ada di dalam bakul motosikalnya. Pak cik itu kelihatan sangat khusyuk membaca. Pada mulanya saya bimbang pak cik itu tidak sedar sekiranya lampu isyarat berubah warna dan mungkin dia akan 'dihon' oleh pemandu-pemandu lain. Namun sangkaan saya meleset apabila pak cik tersebut dapat mengagak waktu lampu itu akan berubah dan beliau terus berhenti membaca.
Saya memerhatikan pak cik itu sehinggalah dia hilang dari pandangan saya. Di sudut hati kecil saya, saya kagum akan pak cik itu. Dalam waktu sesingkat itu dan di kawasan yang berisiko, dia masih lagi membaca tanpa menghiraukan orang sekeliling yang hairan memandangnya. Sikap pak cik itu patut dicontohi anak-anak remaja sekarang. Amalan membaca perlu dipraktikkan tidak kira di manapun kita berada dan usia bukan penghalang untuk kita terus menimba ilmu pengetahuan.