-->
Sharifah Noorulfitrah Wan Alkap

text maker


Cool Text Maker

Khamis, 11 Oktober 2012

Sama Tapi Tak Serupa

Sejak minggu lepas saya lihat beberapa orang pekerja kontrak sedang sibuk mengubah suai dan mengecat semula bangunan Malim Sarjana dan bangunan Bitara Siswa di kampus lama ini. Rasanya sudah hampir siap kerja-kerja mereka. Saya rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir daripada pekerja kontrak itu. Saya bukan memandang rendah akan pekerjaan mereka tetapi perangai mereka membuatkan saya rasa tidak selesa melihat mereka.

Bila tiba waktu makan tengah hari, mereka akan keluar makan ke kedai makan berhampiran Pintu Timur. Pernah suatu hari, saya dan rakan lalu di hadapan kumpulan mereka. Pada waktu itu mereka baru selesai makan tengah hari dan berdiri di luar sebuah kedai makan. Rata-rata mereka berbangsa Melayu dan berkemungkinan juga warganegara asing. Ketika kami lalu, mereka mengusik dan mengeluarkan ayat-ayat biasa untuk mengorat yang berbunyi sangat kurang ajar. Mereka berbuat begitu tanpa menghiraukan pak cik yang menjual buah-buahan berdekatan dengan mereka. Saya dan rakan memandang pelik mereka dan lalu begitu sahaja tanpa mengiraukan mereka. Kebiasaannya, memang tidak ada individu yang berkelakuan begitu di kawasan tersebut memandangkan kawasan itu adalah kawasan pelajar. Kumpulan pekerja itu terus mengusik pelajar yang lalu selepas kami. Saya dan rakan saling berpandangan melihat perangai mereka. Berani menunjukkan belang di kawasan orang.

Selang beberapa hari selepas kejadian itu, kami sekali lagi berhadapan dengan kumpulan pekerja kontrak ini tetapi kelompok yang lain dan dalam situasi yang berbeza. Pada waktu itu saya dan tiga lagi rakan dalam perjalanan pulang setelah selesai kuliah. Kuliah kami di Tadahan Utara dan kami melalui bangunan Malim Sarjana untuk ke Pintu Timur. Pekerja kontrak pada waktu itu sedang memunggah simen dari tingkat satu dan melontarkan bungkusan simen tersebut kepada rakannya di bahagian bawah. Dari jauh kelihatan debu simen itu berterbangan dan saya juga sudah siap sedia untuk menutup hidung dan mulut. 

Kedua-dua pekerja tersebut berbangsa India. Mungkin dia sudah mengagak kami akan lalu di kawasan itu jadi pekerja yang berada di atas berhenti seketika. Rakannya yang berada di bahagian bawah hairan melihat dia berhenti. Kemudian saya mendengar mereka berkomunikasi menggunakan bahasa mereka. Walaupun saya tidak tahu butir perbualan mereka, tetapi saya boleh mengagak apa yang diperkatakan itu. Apabila saya semakin hampir dengan mereka, rakan-rakan yang lain hairan mendengar saya mengucapkan terima kasih kepada pekerja tersebut. Saya tersenyum sambil berkata "dia berhenti sebab kita lalu, takut kita kena debu tu la". Kedua-dua pekerja tersebut membalas senyuman saya dan mengangguk tanda setuju dengan jawapan saya. Mungkin mereka pun tidak menjangkakan yang saya akan meneka perbualan mereka. 

Kesimpulannya, walaupun kedua-dua kumpulan pekerja tersebut mempunyai pekerjaan yang sama dan dianggap rendah, tetapi sikap yang ditunjukkan membezakan antara satu sama lain. Pekerja rendah sekalipun, jika beradab, akan dipandang tinggi oleh masyarakat. 

Dicatat oleh Unknown di 11:16 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest
Dua hari lepas, saya menerima undangan ke majlis perkahwinan abang rakan saya. InsyAallah saya akan pergi jika berkesempatan. Pasangan tersebut mengundang melalui laman sosial Facebook. Kecanggihan teknologi membuatkan semua perkara menjadi mudah. Yang jauh didekatkan dan yang dekat semakin erat. Namun, tanpa kita sedari kecanggihan itu juga telah menghakis budaya masyarakat Melayu kita.

Jika dibandingkan dengan zaman sebelum wujudnya laman sosial seperti Facebook, jemputan perkahwinan lazimnya dibuat melalui kad perkahwinan disamping pasangan akan menjemput sendiri saudara mara dan sahabat handai secara bersemuka mahupun hanya melalui panggilan telefon. Dengan cara ini pada pandangan saya akan lebih mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan disamping menunjukkan rasa hormat bakal pasangan pengantin tersebut kepada kenalan mereka. Jemputan pula akan merasa dihargai dan dihormati jika pasangan pengantin sendiri yang mengundang mereka. Majlis perkahwinan dahulu juga lazimnya dibuat secara gotong-royong sesama ahli keluarga mahupun jiran tetangga. Masing-masing mempunyai tugas sendiri dalam majlis dan keadaan riuh bekerja tersebut semakin memeriahkan sesuatu majlis perkahwinan itu.

Kemudahan dan sikap masyarakat sekarang telah merubah tradisi tersebut. Kebanyakan pasangan yang bakal berkahwin sekarang lebih memilih untuk menempah makanan dan segala persiapan perkahwinan dengan orang-orang tertentu atau mengambil pakej perkahwinan dengan mana-mana pihak. Pada anggapan mereka, lebih senang dan tidak menyusahkan keluarga sendiri kerana hampir kesemua hal ditanggung oleh pihak yang berbayar itu. Jemputan melalui Facebook ini kadang-kadang mendatangkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Hal ini demikian kerana kadang kala terdapat rakan atau keluarga yang tahu disaat-saat akhir majlis akan berlangsung dan berkemungkinan mereka akan merasa mereka diketepikan. Hal ini secara tidak langsung akan mencetuskan perang saudara tanpa sebab. Terdapat juga mereka yang berkeras untuk dijemput oleh pasangan pengantin sendiri secara bersemuka kerana jemputan melalui laman sosial seperti acuh tak acuh sahaja. Oleh itu, kita tidak sepatutnya meminggirkan tradisi dahulu yang sememangnya sangat berguna untuk kita pada generasi ini memandangkan masing-masing sibuk dengan hal duniawi dan majlis perkahwinan seperti ini adalah salah satu medan untuk kita merapatkan silaturrahim sesama insan.
Dicatat oleh Unknown di 8:23 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Selasa, 9 Oktober 2012

Penterjemahan Frasa Bahasa Inggeris "by"

Ketika sedang mencari idea untuk entri blog saya yang seterusnya, saya terjumpa satu keratan akhbar yang mungkin bermanfaat untuk saya dan rakan-rakan. Keratan akhbar tersebut diambil daripada akhbar Berita Harian bertarikh 22 November 2006. Rencana yang bertajuk Penterjemahan Frasa Bahasa Inggeris "by" itu ditulis oleh Sa'odah Abdullah. 

Dalam rencana tersebut, beliau membincangkan kata "by" sebagai kata kunci dan kata masukan yang paling banyak bentuk frasa atau ungkapannya dan pelbagai maknanya. Contoh frasa "by" adalah seperti dalam jadual di bawah :


Bahasa Inggeris
Bahasa Melayu
Contoh Penggunaannya
By and large
umumnya,
pada dasarnya
BI : By and large Malaysians are tolerant of each other.
BM : Umumnya warga Malaysia saling bertoleransi antara satu sama lain.
By and by
tidak lama kemudian
BI : After a long walk in forest, by and by they came to a house.
BM : Setelah berjalan jauh dalam hutan, tidak lama kemudian mereka sampai di sebuah rumah.
By all means
silakan,boleh sahaja,sudah tentu
BI : “May I borrow this book?” By all means!
BM : “Boleh saya pinjam buku ini?” Silakan!
By no means
sama sekali bukan
BI : He is by no means an exemplary leader.
BM : Dia sama sekali bukan seorang pemimpin yang boleh dicontohi.
By leaps and bounds
berlipat ganda,
dengan pesatnya
BI : They made profits by leaps and bounds.
BM : Mereka mendapat keuntungan berlipat ganda.
BI : A town growning by leaps and bounds.
BM : Bandar yang membangun dengan pesatnya.
By the way
Oh ya!
BI : By the way have you seen my brother?
BM : Oh ya! Adakah awak nampak abang saya?
By way of
melalui/melewati
sebagai cara
BI : Laurent came from Paris by way of Bangkok.
BM : Laurent dating dari Paris melalui Bangkok.
BI : To number articles by way of distinguishing them.
BM : Menomborkan artikel sebagai cara membezakannya.
Semoga bahan yang saya kongsi ini boleh menambahkan lagi ilmu kebahasaan rakan-rakan sekalian. 
Dicatat oleh Unknown di 5:47 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Bahasa SMS dan Facebook

Dunia tanpa sempadan telah menghubungkan masyarakat di serata pelosok negara. Kewujudan alat telekomunikasi terkini, canggih dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter merancakkan lagi perkembangan teknologi khususnya di negara kita sendiri. Perkembangan teknologi tersebut tidak sepenuhnya mendatangkan kebaikan. Hal ini demikian kerana berlaku beberapa perkara yang mungkin pada pandangan masyarakat bukan sebagai satu kesalahan tetapi jika dilihat pada sudut yang lain, perkara tersebut merupakan kesalahan besar atau boleh dianggap sebagai virus yang mungkin akan mendatangkan mudarat.

Perkara yang saya maksudkan ialah penggunaan bahasa dalam Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan laman sosial Facebook. Seperti yang kita sedia maklum, remaja terutamanya suka menggunakan bahasa Melayu dengan menggunakan ejaan yang salah dan kesalahan tersebut seakan-akan sudah menjadi trend atau ikutan pada masa kini. Contoh adalah seperti gambar di bawah yang saya ambil dari laman Facebook:


Oit HeY NuCk TeNaL NuN AwaCK BolerH?
Soh, Awack DuCk MaNerw, UmoxX AwAcK BaPerW?
ArE SaL NuN AwacK NhEa SorMBowng SanaRD?
KawO InGaRt KaWo BaGush SanArd Kheer, BerlagarK, SomBorng, BajeT NucK MarMPoz.

Jujur saya katakan, saya perlu membaca dua tiga kali mesej ini sebelum boleh mentafsir maksud sebenar ayat tersebut. Sememangnya, beginilah hakikat bahasa remaja masa kini. Mereka seolah-olah gagal dalam mata pelajaran bahasa Melayu ketika di bangku sekolah dan sewenang-wenangnya mencipta ejaan sendiri. Perkara seperti ini patut dipandang serius kerana jika dibiarkan, bahasa Melayu akan rosak dan mungkin bahasa Melayu yang sebenar akan dipinggirkan. Di bawah pula saya sertakan gambar yang mungkin boleh dijadikan pengajaran untuk kita.



Dicatat oleh Unknown di 4:09 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Kata Sendi Nama 'di'

Pada mulanya, saya memang tidak terfikir untuk memasukkan tajuk ini ke dalam entri blog saya kerana pada pendapat saya, kesalahan penggunaan kata sendi nama ‘di’ ini terlalu biasa dan mungkin telah dibincangkan oleh rakan saya yang lain. Namun, pengalaman saya ahad lepas membuatkan saya terpanggil untuk membicarakan topik yang sama. 

Ahad lepas, saya dan rakan menghabiskan masa cuti hujung minggu kami dengan bersiar-siar di Kuala Lumpur. Kami menaiki bas dari Tanjung Malim dan kemudiannya berhenti di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral. Selepas itu, kami menaiki kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) untuk ke Stesen Hang Tuah sebelum menaiki Monorel menuju ke kompleks beli belah Times Square. Sewaktu mula-mula menaiki LRT itu, saya tidak perasan akan sebarang benda di sekeliling saya memandangkan waktu itu penumpang sangat ramai. Setelah melalui beberapa stesen, penumpang semakin berkurangan dan saya berpeluang untuk duduk. Ketika mata saya liar memandang sekeliling LRT itu, saya terbaca sesuatu. Gambar di bawah adalah gambar yang saya ambil sendiri sewaktu saya berada di dalam LRT itu. 





"Dilarang bersandar dipintu".

Ayat tersebut salah pada penggunaan kata sendi nama di pada frasa 'dipintu'. Kata sendi nama di yang digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat perlulah ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya seperti di bawah:

"Dilarang bersandar di pintu".

Walau bagaimanapun, dari segi hukum tatabahasa, terdapat satu lagi kesalahan pada ayat tersebut. Sepatutnya, jika hendak merujuk kepada tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja, kata sendi nama yang sesuai ialah pada dan bukannya di. Kata sendi nama di hanya digunakan untuk menunjukkan tempat sahaja. Jadi, ayat yang betul ialah:

"Dilarang bersandar pada pintu".

Satu lagi kesalahan yang saya sama yang saya jumpa adalah seperti gambar di bawah: 


Kesalahan ini saya rakam sewaktu bas yang saya naiki hendak keluar dari tempat letak kereta Pudu Sentral.

"Perhatian berhenti digarisan merah tunggu sehingga palang naik"

Pihak yang bertanggungjawab seolah-olah menggunakan bahasa sewenang-wenangnya tanpa memikirkan segala hukum dan peraturan tatabahasa.  

















Dicatat oleh Unknown di 2:39 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Photo Cube Generator

Mengenai Saya

Unknown
Lihat profil lengkap saya

Arkib Blog

  • ▼  2012 (26)
    • ►  10/21 - 10/28 (5)
    • ►  10/14 - 10/21 (5)
    • ▼  10/07 - 10/14 (5)
      • Sama Tapi Tak Serupa
      • Dua hari lepas, saya menerima undangan ke majlis ...
      • Penterjemahan Frasa Bahasa Inggeris "by"
      • Bahasa SMS dan Facebook
      • Kata Sendi Nama 'di'
    • ►  09/30 - 10/07 (5)
    • ►  09/23 - 09/30 (5)
    • ►  09/16 - 09/23 (1)

Pengikut

MASA BERLALU

HALWA TELINGA




Gratisan Musik

Copyright© All Rights Reserved Sharifahnoorulfitrahwanalkap.blogspot.com