-->
Sharifah Noorulfitrah Wan Alkap

text maker


Cool Text Maker

Khamis, 4 Oktober 2012

Perlu ke?

Mungkin semua tertanya-tanya berkenaan tajuk entri saya kali ini. Situasi ini berlaku semasa saya dan rakan makan tengah hari di salah sebuah kedai makan berdekatan Pintu Timur UPSI. Kami memang selalu makan di kedai itu. Sewaktu kami sampai, kedai makan itu penuh dan tidak kelihatan satu pun meja kosong. Saya dan rakan masuk ke kedai itu dan cuba mencari tempat kosong. Rezeki menyebelahi kami apabila pada waktu itu terdapat satu meja kosong di sudut belakang kedai makan itu.

Tanpa membuang masa, saya dan rakan terus duduk sambil membawa makanan masing-masing. Setelah mengambil minuman yang telah dipesan, kami terus menjamu selera. Perhatian saya tertumpu pada seorang pelajar wanita bangsa asing yang duduk bersebelahan meja kami. Pada fikiran saya mungkin pelajar tersebut pelajar pertukaran. Pelajar tersebut ditemani seorang pelajar tempatan daripada jurusan bahasa Inggeris. Saya dapat menyangka pelajar tempatan itu daripada jurusan bahasa Inggeris daripada gaya percakapannya dengan pelajar asing tersebut. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan hanya pelajar jurusan bahasa Inggeris sahaja yang lancar dan akan berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya leka mendengar mereka bersembang dan memerhati pelajar asing itu dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Pelajar asing tersebut berambut pendek seakan lelaki, bertatu di tengkuk dan lengan, bertindik serta memakai pakaian yang pada pandangan saya sangat tidak sesuai dipakai pada waktu kuliah. Sangat jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan cara pemakaian pelajar UPSI sendiri pada waktu kuliah. Terlintas di fikiran saya kata-kata pensyarah saya tempoh hari. Beliau berkata Fakulti Bahasa dan Komunikasi akan menghantar pelajar jurusan bahasa Melayu ke Uzbekistan dan Jepun sebagai pelajar pertukaran dan syarat wajib yang perlu dipenuhi ialah pelajar perlu menguasai bahasa negara berkenaan. Persoalannya di sini, adakah pelajar pertukaran yang datang ke negara kita ditetapkan syarat yang sama dan adakah pelajar yang saya jumpa di kedai makan itu telah menguasai bahasa Melayu sepenuhnya? Sepatutnya pelajar tempatan yang menemani pelajar asing itu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Mengapa perlu kita mengikut rentak mereka sedangkan mereka berada di bumi kita. Jadi, kita sepatutnya bertanggungjawab mengajar mereka berbahasa Melayu dan bukannya terus membiarkan mereka menggunakan bahasa mereka di tempat kita.
Dicatat oleh Unknown di 2:22 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Cakap guna Bahasa Melayu Standard

Dalam perjalanan ke kelas semalam, saya dan rakan terserempak dengan kumpulan pelajar daripada jurusan bahasa Inggeris atau lebih dikenali dengan pelajar TESL. Kami terdiam seketika apabila lalu berhampiran mereka dan kami sempat mendengar mereka bersembang dalam bahasa Inggeris. Terdetik di hati saya rasa kagum dengan kebolehan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lancar. Jika hendak dibandingkan dengan saya, "jauh panggang dari api". Saya berharap suatu hari nanti saya boleh menggunakan bahasa Inggeris selancar mereka.

Setelah jauh beberapa langkah daripada kumpulan pelajar itu, rakan saya pun berkata, " kalau kita ambik kos TESL, mesti kita pun speaking macam diorang kan?". Saya tersenyum kemudian berkata, " yelah kot. Tapi kan, kita kos bahasa Melayu kenapa tak cakap bahasa Melayu baku ek? Tengok diorang, luar kelas pun guna bahasa Inggeris semata-mata nak fasihkan lidah mereka". Kami terdiam. Kemudian rakan saya menjawab, "kalau kita cakap guna bahasa Melayu baku, nampak skema sangat la. Nanti mesti orang pelik dengar kita cakap". "Betul jugak kan", kata saya mengiyakan pendapat rakan saya itu. "padahal kita bukan cakap bahasa asing pun, kita cakap bahasa sendiri kan?" sambung saya lagi.

Begitulah persepsi masyarakat kita. Memandang tinggi bahasa asing sedangkan bahasa sendiri dianggap pelik. Kalau bukan kita sendiri yang menggunakan bahasa tersebut, siapa lagi? Fikir-fikirkanlah.

Dicatat oleh Unknown di 12:04 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Variasi Kata Mengelirukan

Pada pandangan saya, cabaran pembakuan bahasa Melayu belum selesai kerana sikap segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat terhadap bahasa itu sendiri. Masyarakat bebas menggunakan bahasa tersebut tanpa rasa tanggungjawab untuk membakukannya. Masyarakat lebih selesa menggunakan bahasa slanga,bahasa basahan dan bahasa rojak walaupun kadang-kadang dalam situasi formal atau majlis rasmi. Masyarakat kurang pengetahuan tentang ilmu kebahasaan dan mereka juga tidak berusaha untuk merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila terdapat kekeliruan.

Variasi kata dan ejaan ialah perkataan yang mempunyai pelbagai bentuk yang merujuk kepada maksud perkataan yang sama. Variasi kata dalam dialek sosial merangkumi bahasa slanga dan bahasa basahan. Bahasa slanga ialah bahasa tidak rasmi yang lebih rendah tarafnya berbanding bahasa standard. Bahasa slanga ini menggunakan bahasa-bahasa remaja seperti pakwe, makwe, brader, mengancam dan sekeh. Bahasa basahan pula ialah bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi. Bahasa basahan juga disebut bahasa kolokial dan Za'aba menggelar bahasa basahan sebagai bahasa cakap mulut. Contoh bahasa basahan adalah seperti berikut:


(a) perkataan berbeza untuk makna yang serupa
Bahasa Baku
Bahasa Basahan
mengapa
kenapa
bagaimana
macam mana
sedang
tengah

(b) bentuk kependekan
Bahasa Baku
Bahasa Basahan
hendak
nak
tidak
tak
sudah
dah
                                                                   
(c) perubahan bunyi
Bahasa Baku
Bahasa Basahan
ambil
ambik
kecil
kecik
pula
pulak

Penggunaan bahasa-bahasa seperti contoh di atas boleh mengelirukan masyarakat. Hal ini demikian kerana bahasa-bahasa tersebut sudah sebati dalam komunikasi harian masyarakat dan agak sukar untuk bertukar kepada bahasa baku. Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam bahasa boleh dikurangkan jika pengguna atau masyarakat merujuk Kamus Dewan atau DBP. Beberapa perkataan seperti contoh di bawah juga mempunyai variasinya yang tersendiri dan sering kali mengelirukan masyarakat :

Variasi Kata/ Ejaan
Perkataan Standard/Baku
Maksima
Maksimum
Analisa
Analisis
Minima
Minimum

Kesimpulannya, variasi kata dan ejaan dapat dimantapkan dan dibakukan sekiranya pengguna bahasa prihatin terhadap aspek ini. Sikap ambil mudah masyarakat menjadi penghalang utama pembakuan bahasa Melayu dan menjatuhkan martabat bahasa tersebut.




Dicatat oleh Unknown di 10:39 PG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Selasa, 2 Oktober 2012

Sahabat Selamanya

"...Tiada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabatnya
dan tiada kesedihan yang menyamai perpisahan dengannya...
Moga persahabatan yang dibina dengan BISMILLAH ini
hanya akan berakhir dengan INNALILLAH..."




Begitulah ikatan persahabatan yang telah terbina sejak saya melangkah masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini. Walaupun berbeza negeri dan berbeza dialek namun kami disatukan dalam kursus yang sama iaitu Pendidikan Bahasa Melayu. Hari-hari kami berlalu dengan 1001 kenangan dan segala pahit manis telah tercatat dalam memori kami sebagai pelajar di UPSI. Perbezaan dialek bukan penghalang untuk kami meneruskan persahabatan ini sehinggakan ada pelajar daripada jurusan yang sama menggelar kami "Geng 1 Malaysia". Gelaran ini mungkin disebabkan latar belakang negeri kami yang berbeza dan jika hendak dibandingkan dengan pelajar lain, mereka lebih senang dengan kelompok rakan senegeri.

Memang pada mulanya saya akui sangat sukar untuk memahami dialek rakan saya sehinggakan saya meminta mereka menggunakan bahasa Melayu baku jika hendak bercakap dengan saya. Azmarina dengan dialek Kelantannya yang pekat manakala Aina dan Safiah pula dengan dialek Kedahnya. Saya pula masih kekok hendak berbahasa Melayu dengan sempurna memandangkan inilah pertama kali saya bergaul dengan mereka yang berlainan dialek. Jadi, kami terpaksa menggunakan bahasa Melayu baku. Kadang-kadang, berlaku salah faham kerana sesuatu kata dalam dialek saya iaitu dialek Sarawak berbeza makna dalam dialek Kedah mahupun dialek Kelantan. Kami tidak menganggap itu sebagai masalah kerana keadaan seperti itu menambahkan lagi perbendaharaan kata kami.

Lama-kelamaan, saya menjadi semakin biasa dengan dialek mereka. Walaupun saya kurang pandai bercakap menggunakan dialek mereka namun saya faham butir-butir kata percakapan mereka. Sesungguhnya, perbezaan dialek bukan penghalang untuk kami meneruskan persahabatan sehingga ke tahap ini.


Dicatat oleh Unknown di 6:11 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Banggalah dengan Bahasa Kita

Ahad lepas, saya dan rakan makan tengahari sambil menonton televisyen. Kebetulan pada waktu itu tersiar rancangan Jalan-Jalan Cari Makan. Rancangan tersebut membuatkan kami semakin berselera memandangkan makanan yang dihidangkan kelihatan sangat sedap. Pengacara rancangan tersebut ialah Iqram Dinzly dan artis jemputan pada minggu itu pula ialah pelakon cilik negara iaitu adik Mia Sara. Saya amat kagum dengan Mia Sara kerana pada usia yang sangat muda, dia telah menempah nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) dan berjaya berdamping dengan pelakon-pelakon terkenal negara.

Tetapi ada satu perkara yang membuatkan saya rasa terkilan. Sebelum mereka menjamu selera, Iqram menyuruh Mia Sara membaca doa makan terlebih dahulu. Mia Sara membaca doa dengan lancar walaupun terdapat sedikit pelat bahasa kanak-kanak. Selesai membaca doa makan, Mia Sara turut membaca terjemahan bacaan doa tersebut. Saya sedikit terkejut kerana Mia membaca terjemahan doa tersebut dalam bahasa Inggeris. Saya bukan hendak mempertikaikan kebolehan dia berbahasa Inggeris tetapi persoalannya, kenapa perlu diajar kanak-kanak seusia itu membaca terjemahan doa dalam bahasa Inggeris? Kenapa tidak diajar dalam bahasa Melayu?

Memang saya akui, kebanyakan ibu bapa zaman sekarang berlumba-lumba mengajar anak mereka berbahasa Inggeris. Mereka berpendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris sangat penting pada zaman Teknologi dan Maklumat ini dan mereka sangat bangga jika anak mereka boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa ada keluarga yang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian mereka di rumah. Mana perginya Melayu kita? Kanak-kanak seusia Mia Sara yang berumur 7 tahun itu masih merangkak lagi dalam berbahasa Melayu. Tidak salah untuk berbahasa Inggeris tetapi janganlah sampai meminggirkan bahasa ibunda kita sendiri. Siapa lagi yang akan menyanjung dan memartabatkan bahasa Melayu jika bukan kita sendiri sebagai orang Melayu. Fikir-fikirkanlah.

DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG.

Dicatat oleh Unknown di 4:27 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Photo Cube Generator

Mengenai Saya

Unknown
Lihat profil lengkap saya

Arkib Blog

  • ▼  2012 (26)
    • ►  10/21 - 10/28 (5)
    • ►  10/14 - 10/21 (5)
    • ►  10/07 - 10/14 (5)
    • ▼  09/30 - 10/07 (5)
      • Perlu ke?
      • Cakap guna Bahasa Melayu Standard
      • Variasi Kata Mengelirukan
      • Sahabat Selamanya
      • Banggalah dengan Bahasa Kita
    • ►  09/23 - 09/30 (5)
    • ►  09/16 - 09/23 (1)

Pengikut

MASA BERLALU

HALWA TELINGA




Gratisan Musik

Copyright© All Rights Reserved Sharifahnoorulfitrahwanalkap.blogspot.com