-->
Sharifah Noorulfitrah Wan Alkap

text maker


Cool Text Maker

Sabtu, 29 September 2012

Lagu Kebangsaan

Sewaktu kelas kokurikulum Silat Serimau Hitam pagi tadi, kami berkongsi padang utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang besar itu dengan kumpulan Silat Cekak dan beberapa kumpulan pelajar yang berlatih bola sepak. Pada masa yang sama juga, berlangsung Sukan Tahunan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak Permata UPSI di sudut kanan padang tersebut. Ketika kami sedang sibuk berlari dalam sesi pemanasan badan, kedengaran lagu Negaraku diputarkan. Sepantas kilat, kumpulan kami berhenti berlari dan berdiri tegak bagi menghormati lagu kebangsaan tersebut. Tetapi lagu itu hanyalah sebagai percubaan dan setelah lagu itu diberhentikan, kami meneruskan semula sesi pemanasan badan.

Selang beberapa minit kemudian, acara sukan tahunan itu pun bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Perak Aman Jaya dan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman. Semua individu yang berada di padang, sekitar tepi padang dan yang berdekatan padang berdiri bagi menghormati ketiga-tiga buah lagu tersebut. Kami juga sekali lagi berhenti dan turut berdiri tegak bagi menghormati lagu kebangsaan kita.

Suasana seperti itu membuatkan saya kagum dan berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana semua masyarakat sangat menghormati lagu kebangsaan termasuklah kanak-kanak Permata UPSI. Walaupun acara tersebut hanyalah acara kecil dan tidak melibatkan pihak-pihak lain yang berada dalam padang tersebut tetapi semua turut berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan. Tidak nampak seorang pun yang duduk sewaktu lagu tersebut dimainkan. 

Apa yang mencuri perhatian saya ialah gelagat seorang bapa bersama dua orang anaknya. Seorang anaknya berada dalam lingkungan umur 3 tahun dan si abang pula berumur dalam lingkungan 8 tahun. Anaknya yang berumur 3 tahun itu berlari ketika lagu Ibu Kandung Suluh Budiman sedang dimainkan. Si bapa tersebut cuba untuk mengejar anaknya itu tetapi si abang yang berumur 8 tahun itu melarang kerana si abang memberitahu bapanya ketika lagu kebangsaan sedang dimainkan, kita dilarang bergerak. Sungguh mencuit hati gelagat keluarga tersebut. Setelah habis lagu itu dimainkan, si abang cepat-cepat mengejar adiknya tadi. 
Kesimpulannya, situasi seperti itu menunjukkan si abang telah diasuh dan diajar sejak kecil untuk menghormati lagu kebangsaan dan begitu juga sikap masyarakat sekeliling yang bertolak ansur dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap lagu kebangsaan.
Dicatat oleh Unknown di 4:34 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Betulkan yang Salah, Biasakan yang Betul

Tanpa kita sedari, bangsa kita sendiri boleh menjadi perosak bahasa. Entri saya kali ini juga ada kaitannya dengan media elektronik. Media bukan sahaja cermin kepada masyarakat tetapi media juga berperanan mempengaruhi masyarakat. Sebagai penutur bahasa Melayu, kita seharusnya bangga dengan bahasa ibunda kita dan berusaha untuk memartabatkannya. Namun, media elektronik di negara kita ini masih tidak serius dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Antara kesalahan bahasa yang sering berlaku semasa siaran berita atau laporan dalam bahasa Melayu ialah cara mengungkapkan sesuatu contohnya Boeing 357. Ungkapan Boeing 357 sering kali disebut Boeing three five seven yang sepatutnya disebut sebagai Boeing tiga lima tujuh. Begitu juga dengan H1NI yang disebut H one N one sedangkan ungkapan tersebut boleh sahaja disebut sebagai H satu N satu. Mereka berbuat begitu seolah-olah tiada perkataan yang bersesuaian dengan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Jika kita perhatikan, semasa siaran berita atau rancangan dalam bahasa selain bahasa Melayu, mereka akan menuturkan setiap bait kata tersebut sepenuhnya dalam bahasa mereka dan tidak ada sepatah pun perkataan bahasa Melayu yang digunakan. Jadi, apakah rasionalnya kita menggunakan bahasa lain dalam rancangan bahasa Melayu? Tidakkah tindakan ini akan meminggirkan bahasa ibunda kita sendiri? Oleh hal demikian, kesalahan yang sering dilakukan itu perlulah diperbaiki agar tidak lenyap ditelan arus zaman.

BETULKAN YANG SALAH, BIASAKAN YANG BETUL.
Dicatat oleh Unknown di 2:55 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Pengaruh Media Elektronik

Kita dapat melihat dan mengesan pelbagai kesalahan bahasa yang berterusan dilakukan dalam pelbagai program televisyen dan radio. Semalam, semasa saya dan rakan bersiap-siap untuk ke kuliah, kami masih sempat untuk mendengar sebuah stesen radio swasta secara atas talian (online). Rancangan radio tersebut dikendalikan oleh dua orang juruhebah yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Kedua-dua juruhebah tersebut rancak berbual berkenaan tajuk perbualan pada pagi itu iaitu Hukuman yang Diberikan Ibu Bapa atau Guru Jika Tidak Boleh Menghafal Sifir. Setelah selesai juruhebah perempuan itu berkongsi pengalamannya dengan pendengar, tiba pula giliran juruhebah lelaki. Juruhebah lelaki itu menceritakan pengalamannya yang berbunyi begini :
"aku dulu, masa nak hafal sifir payah sangat. Waktu tu ayah aku paksa jugak aku hafal sifir kat rumah. ko nak tahu ayah aku ajar macam mana? Dia suruh aku hafal sifir menghadap ke dinding, kalau aku salah, dia sekeh kepala alu terus kat dinding tu. Sebab tu la aku cemerlang matematik sekolah dulu, sebab aku takut kena sekeh kat dinding."
Pada pendapat saya, kata ganti nama yang digunakan oleh juruhebah lelaki itu tidak bersesuaian dan kedengaran sangat kasar dan kurang sopan. Tidak salah jika juruhebah tersebut hendak membahasakan dirinya "aku" tetapi perlulah kena dengan tempat dan situasinya. Orang yang mendengar perbualan mereka itu mungkin juga terdiri daripada kanak-kanak atau pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah masing-masing. Penggunaan bahasa seperti itu mungkin akan mempengaruhi perkembangan bahasa masyarakat khususnya kanak-kanak kerana media elektronik ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat. Oleh hal demikian, kesedaran perlu dipupuk dalam kalangan pihak penyiaran kerana setiap kata yang dituturkan memberi pengaruh terhadap masyarakat. Kata itu ibarat pedang yang tajamnya boleh memusnahkan bangsa sendiri secara tersembunyi. 
         
           BAHASA MENCERMINKAN BANGSA.
Dicatat oleh Unknown di 1:28 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Khamis, 27 September 2012

diorang..

Hari ini, kisah yang hendak saya ceritakan masih lagi situasi di dalam kelas. Kelas yang sama pulak tu. Tidak salah kan? Sebab saya rasa benda yang hendak saya ceritakan lepas ini memang selalu sangat berlaku dan jarang-jarang ada orang yang akan membetulkannya. Kebiasaannya, orang akan biarkan sahaja. Sewaktu kami bersoal jawab bersama Dr. Lanang dalam kelas tersebut, seorang pelajar berdiri untuk memberikan pendapatnya. Idea yang dikemukakan pelajar tersebut sangat bernas dan bertepatan dengan kehendak soalan tetapi terdapat kesalahan bahasa yang telah dilakukan pelajar tersebut secara tidak sengaja sewaktu dia bercakap. Pelajar tersebut menggunakan ganti nama diri "diorang" bagi merujuk pihak ketiga dalam perbualan tersebut. Pada pendapat saya, kebanyakan pelajar mesti akan menggunakan kata ganti nama tersebut ketika menjawab soalan daripada pensyarah mereka. Hal ini demikian kerana mereka telah terbiasa menggunakan ganti nama tersebut dalam perbualan harian dan berlaku percampuran kod sewaktu mereka hendak berinteraksi dengan pensyarah. Saya sangat kagum dengan sikap Dr.Lanang kerana beliau cepat-cepat menegur kesalahan pelajar tersebut dan menyarankan pelajar berkenaan menggunakan ganti nama yang betul sewaktu berkomunikasi di dalam kelas. Kesalahan ini juga sebagai peringatan kepada diri saya sendiri memandangkan saya juga seorang pelajar dan bakal guru yang akan memartabatkan bahasa Melayu. Perkara sebegini perlu dielakkan dan kita perlulah menyesuaikan bahasa yang digunakan dengan persekitaran kita.
Dicatat oleh Unknown di 2:09 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Rabu, 26 September 2012

"sorry"

Hari ini kelas pertama dengan Dr.Seri Lanang sebab sudah 2 minggu beliau tidak masuk ke kelas. Dr. dikhabarkan terpaksa menghabiskan sisa-sisa cutinya. Hari ini juga sangat istimewa memandangkan hari ini ulangtahun kelahiran Dr. juga hari persaraannya. Waktu bersoal jawab dalam kelas tentang pelajaran, saya sempat mengesan kesalahan yang boleh dijadikan bahan untuk tugasan sosiolinguistik saya. Pada waktu itu Dr. Lanang bertanyakan soalan kepada salah seorang pelajar daripada Sarawak. Sewaktu menjawab soalan tersebut, pelajar berkenaan secara tidak sengaja menjawab dalam dialek Sarawak. Tapi bukan itu masalah yang hendak saya ketengahkan. Setelah menyedari kesalahannya, pelajar tersebut meminta maaf dengan menyebut “sorry”. Bagi saya, tidak sepatutnya pelajar tersebut berkata “sorry” kerana kelas itu ialah kelas bahasa Melayu dan sudah jelas dan nyata beliau perlu berbahasa Melayu. Pelajar tersebut sepatutnya sudah tetapkan minda dan dirinya supaya berbahasa Melayu dengan baik memandangkan dia juga bakal menjadi guru bahasa Melayu kelak.Tidak salah jika hendak berbahasa Inggeris tetapi perlulah kena pada tempatnya.
Dicatat oleh Unknown di 10:06 PTG Tiada ulasan:
E-melkan IniBlogThis!Kongsi pada XKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Photo Cube Generator

Mengenai Saya

Unknown
Lihat profil lengkap saya

Arkib Blog

  • ▼  2012 (26)
    • ►  10/21 - 10/28 (5)
    • ►  10/14 - 10/21 (5)
    • ►  10/07 - 10/14 (5)
    • ►  09/30 - 10/07 (5)
    • ▼  09/23 - 09/30 (5)
      • Lagu Kebangsaan
      • Betulkan yang Salah, Biasakan yang Betul
      • Pengaruh Media Elektronik
      • diorang..
      • "sorry"
    • ►  09/16 - 09/23 (1)

Pengikut

MASA BERLALU

HALWA TELINGA




Gratisan Musik

Copyright© All Rights Reserved Sharifahnoorulfitrahwanalkap.blogspot.com