Restoran makanan segera memang menjadi tarikan bagi pelajar seperti kami. Di pekan Tanjung Malim ini sendiri, restoran makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut laris disebabkan kehadiran pelajar UPSI sendiri dan sekiranya tiba musim cuti, restoran-restoran tersebut mungkin akan lengang. Kebanyakan pelajar lebih memilih KFC berbanding Pizza Hut mungkin disebabkan faktor harga yang ditawarkan. Baru-baru ini juga, saya dan rakan masing-masing mendapat baucer makanan daripada Pizza Hut dan kami bercadang untuk menebus baucer tersebut. Sebelum ini, kami lebih memilih KFC berbanding Pizza Hut memandangkan harga yang ditawarkan KFC lebih murah. Dengan adanya baucer tersebut, kami berpeluang merasa makanan di Pizza Hut.
Sesampainya kami di restoran Pizza Hut, kami disambut oleh seorang wanita yang mungkin seusia kami di kaunter bayaran. Salah seorang rakan saya memberikan senyuman dan bertanya cara-cara menebus baucer yang ada pada kami itu. Wanita tersebut menjawab dengan muka yang tidak mesra pelanggan dan bercakap tanpa melihat kami. Dia asyik melihat sekeliling restoran tersebut. Pada tanggapan kami, mungkin wanita tersebut beranggapan bahawa kami tidak penting dan tidak layak untuk makan di tempat sebegitu. Kami merasa tidak selesa dengan layanan wanita itu yang kelihatan agak sombong dan berlagak. Secalit senyuman pun tidak terukir di bibir wanita itu. Selepas itu, kami naik ke tingkat atas bangunan restoran itu.
Hampir 15 minit kami duduk tanpa dilayan oleh pekerja restoran itu. Beberapa orang pelanggan lain juga kelihatan resah kerana mereka pun senasib dengan kami. Pekerja restoran tersebut ramai tetapi yang kelihatan bekerja hanyalah seorang sahaja. Kami pun tidak pasti cara pengurusan restoran tersebut. Pekerja restoran tersebut bukan sahaja tidak cekap bekerja malahan mereka juga tidak mesra pelanggan. Mereka hanya berlagak memakai pakaian cantik dengan solekan yang tebal tanpa menghiraukan kehadiran pelanggan yang menjadi aset keuntungan mereka. Sikap mereka membuatkan saya dan rakan-rakan merasa serik untuk berkunjung ke restoran tersebut. Tidak berbaloi rasanya makan di tempat yang mahal dengan layanan dan servis perkhidmatan yang sangat lembap seperti itu. Sepatutnya mereka mendahulukan pelanggan dan mempamerkan sikap yang baik kepada pelanggan mereka. Tanpa pelanggan, mereka mungkin tidak akan mempunyai pekerjaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan