Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Negeri Perak dan Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu telah berlansung selama dua hari bermula isnin lepas. Kesemua pelajar jurusan bahasa Melayu diwajibkan untuk menghadiri persidangan tersebut. Persidangan tersebut bukan sahaja melibatkan warga UPSI malahan juga melibatkan ahli bahasa dari luar negara seperti dari Indonesia dan juga Singapura. Kertas kerja yang dibentangkan adalah dapatan kajian mereka berkenaan bahasa Melayu. Banyak input yang bermanfaat diketengahkan dan boleh dijadikan sebagai panduan untuk kami bakal-bakal guru kelak. Terdapat beberapa perkara yang sangat menarik minat saya sepanjang sesi persidangan tersebut.
Pertama, saya sangat tertarik dengan bahasa Melayu yang digunakan oleh pembentang dari Singapura. Pembentang tersebut menggunakan bahasa Melayu baku dan mungkin warga Singapura memang menggunakan bahasa Melayu baku dalam pertuturan seharian mereka. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat kita, kita tidak mempraktikkan bahasa baku sepenuhnya dalam percakapan harian kita. Bahasa Melayu kita juga kadang-kadang masih lagi mempunyai pengaruh bahasa Inggeris. Contohnya dalam menyebut perkataan 'idea'. Kita sering kali menyebut 'idea' itu berbeza daripada ejaan sebenarnya iaitu lebih cenderung kepada pengaruh sebutan Inggeris.
Kedua, saya juga sependapat dengan pembentang daripada IPG Batu Lintang, Kuching. Beliau menyatakan bahawa kita sibuk hendak memartabatkan bahasa Melayu tetapi dalam ikrar Setia Bahasa yang dilafazkan semasa pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan itu, tidak disebut sedikit pun perihal bahasa Melayu. Yang ada hanyalah bahasa Malaysia. Lafaz ikrar tersebut adalah seperti berikut:
Kami, rakyat Malaysia,
berikrar akan terus setia memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai :
bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa.
bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta pembangunan negara
yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia.
bahasa yang menjaga dan meupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan
pemikiran bangsa dan bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta
mengembangkan ilmu dan tamadun di negara dan di dunia.
Sesungguhnya,
kami bertekad akan meneruskan perjuangan ini.
Satu lagi perkara yang menarik minat saya ialah perihal dokumen Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang didedahkan oleh Profesor Emeritus Nik Safiah Karim. Dalam usaha memartabatkan bahasa kita sendiri iaitu bahasa Melayu, ternyata bahasa kita 'dianaktirikan' berbanding bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana dalam dokumen tersebut, hanya terdapat sedikit sahaja huraian cara-cara memartabatkan bahasa Melayu berbanding cara memperkukuhkan bahasa Inggeris. Sepatutnya, kita perlu mendahulukan bahasa kita sendiri dan bukannya bahasa asing. Pendedahan tersebut telah membuka mata banyak pihak yang menghadiri persidangan tersebut termasuklah saya. Dimanakah kerelevanan pihak kerajaan berbuat demikian? Sebagai seorang bakal guru bahasa, saya sudah merasa bahang tanggungjawab yang akan saya pikul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan