Suatu pagi, sedang saya dan rakan leka berjalan untuk ke bilik kuliah, kami terkejut apabila tiba-tiba mendengar suara orang bertempik. Individu itu menyebut perkataan yang kurang sopan, f*** dengan kuat sekali. Pada waktu itu, pelajar berpusu-pusu masuk melalui Pintu Timur UPSI memandangkan sesi kuliah akan bermula seawal jam 8 pagi. Kenderaan juga kelihatan sangat sibuk pada pagi itu. Kami berdua tergamam melihat kejadian itu. Pelajar tersebut menunggang motosikal bersama dua orang lagi rakannya yang lain.
Setelah mengeluarkan kata kesat itu, pelajar tersebut keluar daripada Pintu Timur sambil menunggang motosikalnya dengan laju. Beberapa pasang mata memandang ke arah pelajar berkenaan dengan wajah kehairanan dan rasa tidak puas hati dengan sikapnya. Saya dan rakan beranggapan mungkin pelajar berkenaan ditegur dan dilarang oleh pengawal keselamatan daripada masuk ke kampus kerana tidak memakai kad matrik ataupun dia tidak mempunyai pas kenderaan. Beberapa minit kemudian, kelihatan pelajar yang sama menunggang motosikal dengan lajunya masuk ke kawasan kampus tanpa menghiraukan para pengawal yang bertugas di situ.
Sikap pelajar itu sangat tidak sopan memandangkan dia adalah bakal pendidik. Mungkin dia terburu-buru untuk ke bilik kuliah tetapi tidak sepatutnya dia mengeluarkan kata kesat seperti itu. Mungkin ramai pelajar ambilan baru melihat kejadian tersebut dan hal ini akan mendatangkan kesan negatif di kemudian hari. Dia sepatutnya menghormati tugas pengawal keselamatan itu. Pengawal tidak akan menyekat dia daripada masuk ke kawasan kampus sekiranya dia tidak bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan