Ahad lepas, saya dan rakan makan tengahari sambil menonton televisyen. Kebetulan pada waktu itu tersiar rancangan Jalan-Jalan Cari Makan. Rancangan tersebut membuatkan kami semakin berselera memandangkan makanan yang dihidangkan kelihatan sangat sedap. Pengacara rancangan tersebut ialah Iqram Dinzly dan artis jemputan pada minggu itu pula ialah pelakon cilik negara iaitu adik Mia Sara. Saya amat kagum dengan Mia Sara kerana pada usia yang sangat muda, dia telah menempah nama dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) dan berjaya berdamping dengan pelakon-pelakon terkenal negara.
Tetapi ada satu perkara yang membuatkan saya rasa terkilan. Sebelum mereka menjamu selera, Iqram menyuruh Mia Sara membaca doa makan terlebih dahulu. Mia Sara membaca doa dengan lancar walaupun terdapat sedikit pelat bahasa kanak-kanak. Selesai membaca doa makan, Mia Sara turut membaca terjemahan bacaan doa tersebut. Saya sedikit terkejut kerana Mia membaca terjemahan doa tersebut dalam bahasa Inggeris. Saya bukan hendak mempertikaikan kebolehan dia berbahasa Inggeris tetapi persoalannya, kenapa perlu diajar kanak-kanak seusia itu membaca terjemahan doa dalam bahasa Inggeris? Kenapa tidak diajar dalam bahasa Melayu?
Memang saya akui, kebanyakan ibu bapa zaman sekarang berlumba-lumba mengajar anak mereka berbahasa Inggeris. Mereka berpendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris sangat penting pada zaman Teknologi dan Maklumat ini dan mereka sangat bangga jika anak mereka boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa ada keluarga yang mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dalam komunikasi harian mereka di rumah. Mana perginya Melayu kita? Kanak-kanak seusia Mia Sara yang berumur 7 tahun itu masih merangkak lagi dalam berbahasa Melayu. Tidak salah untuk berbahasa Inggeris tetapi janganlah sampai meminggirkan bahasa ibunda kita sendiri. Siapa lagi yang akan menyanjung dan memartabatkan bahasa Melayu jika bukan kita sendiri sebagai orang Melayu. Fikir-fikirkanlah.
DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan