Dua hari lepas, saya menerima undangan ke majlis perkahwinan abang rakan saya. InsyAallah saya akan pergi jika berkesempatan. Pasangan tersebut mengundang melalui laman sosial Facebook. Kecanggihan teknologi membuatkan semua perkara menjadi mudah. Yang jauh didekatkan dan yang dekat semakin erat. Namun, tanpa kita sedari kecanggihan itu juga telah menghakis budaya masyarakat Melayu kita.
Jika dibandingkan dengan zaman sebelum wujudnya laman sosial seperti Facebook, jemputan perkahwinan lazimnya dibuat melalui kad perkahwinan disamping pasangan akan menjemput sendiri saudara mara dan sahabat handai secara bersemuka mahupun hanya melalui panggilan telefon. Dengan cara ini pada pandangan saya akan lebih mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan disamping menunjukkan rasa hormat bakal pasangan pengantin tersebut kepada kenalan mereka. Jemputan pula akan merasa dihargai dan dihormati jika pasangan pengantin sendiri yang mengundang mereka. Majlis perkahwinan dahulu juga lazimnya dibuat secara gotong-royong sesama ahli keluarga mahupun jiran tetangga. Masing-masing mempunyai tugas sendiri dalam majlis dan keadaan riuh bekerja tersebut semakin memeriahkan sesuatu majlis perkahwinan itu.
Kemudahan dan sikap masyarakat sekarang telah merubah tradisi tersebut. Kebanyakan pasangan yang bakal berkahwin sekarang lebih memilih untuk menempah makanan dan segala persiapan perkahwinan dengan orang-orang tertentu atau mengambil pakej perkahwinan dengan mana-mana pihak. Pada anggapan mereka, lebih senang dan tidak menyusahkan keluarga sendiri kerana hampir kesemua hal ditanggung oleh pihak yang berbayar itu. Jemputan melalui Facebook ini kadang-kadang mendatangkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Hal ini demikian kerana kadang kala terdapat rakan atau keluarga yang tahu disaat-saat akhir majlis akan berlangsung dan berkemungkinan mereka akan merasa mereka diketepikan. Hal ini secara tidak langsung akan mencetuskan perang saudara tanpa sebab. Terdapat juga mereka yang berkeras untuk dijemput oleh pasangan pengantin sendiri secara bersemuka kerana jemputan melalui laman sosial seperti acuh tak acuh sahaja. Oleh itu, kita tidak sepatutnya meminggirkan tradisi dahulu yang sememangnya sangat berguna untuk kita pada generasi ini memandangkan masing-masing sibuk dengan hal duniawi dan majlis perkahwinan seperti ini adalah salah satu medan untuk kita merapatkan silaturrahim sesama insan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan