Sejak minggu lepas saya lihat beberapa orang pekerja kontrak sedang sibuk mengubah suai dan mengecat semula bangunan Malim Sarjana dan bangunan Bitara Siswa di kampus lama ini. Rasanya sudah hampir siap kerja-kerja mereka. Saya rasa tidak puas hati terhadap sikap segelintir daripada pekerja kontrak itu. Saya bukan memandang rendah akan pekerjaan mereka tetapi perangai mereka membuatkan saya rasa tidak selesa melihat mereka.
Bila tiba waktu makan tengah hari, mereka akan keluar makan ke kedai makan berhampiran Pintu Timur. Pernah suatu hari, saya dan rakan lalu di hadapan kumpulan mereka. Pada waktu itu mereka baru selesai makan tengah hari dan berdiri di luar sebuah kedai makan. Rata-rata mereka berbangsa Melayu dan berkemungkinan juga warganegara asing. Ketika kami lalu, mereka mengusik dan mengeluarkan ayat-ayat biasa untuk mengorat yang berbunyi sangat kurang ajar. Mereka berbuat begitu tanpa menghiraukan pak cik yang menjual buah-buahan berdekatan dengan mereka. Saya dan rakan memandang pelik mereka dan lalu begitu sahaja tanpa mengiraukan mereka. Kebiasaannya, memang tidak ada individu yang berkelakuan begitu di kawasan tersebut memandangkan kawasan itu adalah kawasan pelajar. Kumpulan pekerja itu terus mengusik pelajar yang lalu selepas kami. Saya dan rakan saling berpandangan melihat perangai mereka. Berani menunjukkan belang di kawasan orang.
Selang beberapa hari selepas kejadian itu, kami sekali lagi berhadapan dengan kumpulan pekerja kontrak ini tetapi kelompok yang lain dan dalam situasi yang berbeza. Pada waktu itu saya dan tiga lagi rakan dalam perjalanan pulang setelah selesai kuliah. Kuliah kami di Tadahan Utara dan kami melalui bangunan Malim Sarjana untuk ke Pintu Timur. Pekerja kontrak pada waktu itu sedang memunggah simen dari tingkat satu dan melontarkan bungkusan simen tersebut kepada rakannya di bahagian bawah. Dari jauh kelihatan debu simen itu berterbangan dan saya juga sudah siap sedia untuk menutup hidung dan mulut.
Kedua-dua pekerja tersebut berbangsa India. Mungkin dia sudah mengagak kami akan lalu di kawasan itu jadi pekerja yang berada di atas berhenti seketika. Rakannya yang berada di bahagian bawah hairan melihat dia berhenti. Kemudian saya mendengar mereka berkomunikasi menggunakan bahasa mereka. Walaupun saya tidak tahu butir perbualan mereka, tetapi saya boleh mengagak apa yang diperkatakan itu. Apabila saya semakin hampir dengan mereka, rakan-rakan yang lain hairan mendengar saya mengucapkan terima kasih kepada pekerja tersebut. Saya tersenyum sambil berkata "dia berhenti sebab kita lalu, takut kita kena debu tu la". Kedua-dua pekerja tersebut membalas senyuman saya dan mengangguk tanda setuju dengan jawapan saya. Mungkin mereka pun tidak menjangkakan yang saya akan meneka perbualan mereka.
Kesimpulannya, walaupun kedua-dua kumpulan pekerja tersebut mempunyai pekerjaan yang sama dan dianggap rendah, tetapi sikap yang ditunjukkan membezakan antara satu sama lain. Pekerja rendah sekalipun, jika beradab, akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan